Pemerhatian teliti akan membolehkan kita mengenalpasti darjat-darjat selipar. Apabila dikatakan sebagai darjat, maka ianya bermakna memang selipar ada mempunyai tahap kemuliaan tertentu. Memang agak tidak munasabah kerana selipar yang biasanya hanya terhimpit antara tapak kaki dan lantai atau tanah lebih mudah dipandang sebagai hina.
Untuk melihat darjat selipar, pemerhatian perlu dibuat di tempat=tempat yang mana terdapat banyak selipar. Mungkin tempat pertama yang terlintas adalah kedai tempat menjual banyak selipar. Memang terdapat banyak selipar di kedai selipar. Selipar yang ada pun pelbagai jenis dan bentuk. Harganya juga berlainan bergantung dengan kepandaian peniaga yang mengusahakan kedai tesebut. Ada juga kemungkinan harganya berpadanan dengan tahap mutu selipar itu sendiri.
Di sinikah tempat yang sesuai untuk kita membuat pemerhatian tentang darjat selipar? Harga berlainan. Tahap mutu berlainan. Mungkin tidak sesuai kerana selipar-selipar yang ada di kedai merupakan selipar yang belum digunakan. Selipar yang belum digunakan belum pernah berkhidmat lalu bagaimana darjatnya mahu diukur. Kalau setakat dengan harga dan mutu, belum membuktikan akan keberkesanan khidmatnya. Lagipun belum pasti yang berharga mahal itu tinggi mutunya dan tahan lama. Belum juga dapat dipastikan samaada yang murah selesa dipakai atau sebaliknya.
Satu lagi tempat di mana terdapat banyak selipar adalah masjid. Masa yang paling banyak selipar di masjid pula ialah pada waktu solat Jumaat. Bagi masjid-masjid yang agak kecil , terdapat ratusan pasang selipar. Bagi masjid-masjid yang besar pula, terdapat ribuan pasang selipar. Selipar yang berada di masjid juga merupakan selipar-selipar yang sudah berkhidmat. Selipar-selipar ini sudah merasai kehinaan sebagaimana kehinaan yang sering dikaitkan dengan sepasang selipar.
Maka di sinilah tempat yang sesuai untuk pemerhatian teliti dibuat bagi mengenalpasti darjat-darjat selipar. Namun apakah kayu pengukur yang patut digunakan untuk mengenalpasti darjat selipar-selipar di masjid? Adakah menurut harga ianya dibeli oleh pemiliknya? Adakah dengan tahap mutu selipar tersebut? Adakah dengan tahap ketahanan selipar tersebut? Adakah dengan tahap keselesaan yang dirasai oleh pemilik selipar semasa memakainya? Adakah dengan ukuran peri cantiknya rupa selipar tersebut?
Bukankah selipar tetap selipar, yang digunakan untuk mengalas kaki pemiliknya. Tempatnya terhimpit antara tapak kaki dengan lantai atau tanah di mana pemiliknya berjalan. Lantai dan tanah di mana ia digunakan pula sering tercemar dengan kotoran. Kotoran-kotoran ini pula pelbagai. Dari sekadar kotoran yang biasa sehingga najis. Dari najis ringan sehingga najis berat yang hanya boleh disucikan dengan proses yang teliti, berperingkat dan pelbagai. Tidak kiralah berapa harganya, tahap mutu serta ketahanannya, keselesaannya dipakai dan secantik mana pun rupanya, selipar tetap selipar.
Darjatnya hanya boleh diukur apabila ia sedang berehat. Ketika ia tidak terhimpit antara tapak kaki pemakainya dan lantai serta tanah. Pada masa inilah ukuran darjat boleh dilakukan. Kayu ukur harga, mutu dan rupa merupakan kayu ukur yang tidak jitu.
Yang mahal tidak semestinya bermutu. Yang bermutu tidak semestinya cantik. Yang cantik pula mungkin kurang selesa. Yang selesa dan cantik pula mungkin sukar dibersihkan. Kepelbagaian kemungkinan ini menyukarkan dan menyebabkan sifat-sifat tersebut tidak sesuai untuk menjadi kayu pengukur yang baik bagi menilai darjat-darjat selipar.
Jauh lebih mudah sekiranya darjat selipar dinilai melalui kedudukan atau tempat ia diletakkan apabila tidak digunakan. Apabila pemilik selipar-selipar sampai di masjid, selipar akan dibuka dan ditempatkan di ruang luar masjid. Pemiliknya sudah tentu tidak membawa masuk selipar yang kotor masuk ke dalam masjid kerana kekotoran selipar akan mencemarkan kesucian masjid. Selipar-selipar akan di tinggalkan di ruang luar masjid sehingga pemiliknya selesai solat. Selipar ditinggalkan sehingga ia diperlukan semula untuk dipakai ketika pemiliknya berjalan pulang ke rumah masing-masing.
Pada ketika selipar-selipar ini ditingggalkan sebegini merupaka masa yang paling sesuai untuk penilaian dibuat akan tahap darjat selipar-selipar ini. Ada yang diletakkan di tempat-tempat atau rak-rak selipar yang memang disediakan oleh pihak pengurusan masjid, untuk meletakkan selipar ketika pemiliknya solat. Ada yang sekadar ditinggalkan di hadapan tangga. Ada yang diselitkan di sebalik tiang atau pasu. Ada pula yang diletakkan di atas tangga masjid. Di sinilah penilaian dapat dibuat bagi menentukan darjat-darjat selipar.
Sudah pasti, inilah masa dan keadaan yang sesuai kerana kecantikan selipar, sebagaimana kecantikan paras manusia tidak menunjukkan darjatnya. Kalau sekadar cantik rupa paras tetapi rendah akhlaknya, maka rendahlah darjatnya. Selipar yang mahal mungkin boleh dikaitkan dengan manusia yang kaya dan kekayaan semata-mata tidak menunjukkan darjat manusia. Apalah mulianya seorang yang kaya sekiranya kekayaan yang dimilikinya datangnya dari punca yang tidak halal.
Begitu jugalah kiranya sepasang selipar yang selesa dipakai jika dikaitkan dengan tahap keselesaan kehidupan manusia, tidak tepat dijadikan kayu ukur nilai darjat kerana kemungkinan keselesaan yang dikecapi merupakan hasil penganiayaan terhadap orang lain. Selipar-selipar yang tahan lama boleh dibandingkan dengan manusia yang panjang umurnya. Apalah darjat manusia yang hidup lama tetapi kehidupannya bergelumang maksiat hingga ke penghujungnya.