Selipar, mana ada darjat. Bukankah kita sering mendengar bagaimana ramai orang menggunakan perkataan selipar untuk menunjukkan keburukan sesuatu perkara.
"Muka macam selipar buruk, nak berlagak"
"Aku baling dengan selipar aku ni kang"
"Baling jangan sebarang baling, benda lain aku tak kisah, selipar jangan main-main, hina oo..."
"Engkau jangan buat malu, pakailah kasut. Takkan dengan selipar jamban tu engkau nak berjalan dengan aku?"
Hina. Begitulah darjat selipar. Memang boleh dikatakan tiada darjat kerana darjat itu kita gunakan untuk menunjukkan kemuliaan seseorang atau sesuatu. Kalau benda yang hina, maka tiadalah darjatnya.
Apa tidaknya, selipar sentiasa berada di tempat paling bawah antara banyak-banyak pakaian lain. Sudahlah tempatnya di bawah tapak kaki, tapaknya pula mengadap ke tanah. Kalau setakat ke tanah mungkin ada ampun juga.
Sudahlah terhimpit antara tapak kaki dan tanah atau lantai, tanah atau lantainya pula lebih banyak yang kotor dari yang bersih. Kalau yang bersih, tak sebersih mana pun tetapi tempat yang kotor boleh jadi teramat kotornya.
Kalau didalam rumah, selipar biasanya di tempatkan dan digunakan dalam tandas. Tahu sajalah, kalau dah namanya tandas, sebersih mana pun ianya, ia tetap tempat manusia membuang kekotoran yang terhasil dari dalam badan. Kemungkinan besar, selipar digunakan dalam tandas kerana tuan punya tapak kaki yang memakainya tidak sanggup memijak lantai tandas tersebut tanpa berlapik. Walaupun bukan kerana ianya kotor tetapi tidak cukup yakin akan kebersihannya. Di sini dapat dilihat bertapa hinanya selipar sehingga sering dianggap lebih hina dari kasut walaupun kedua-dua benda ini digunakan untuk mengalas kaki.
Di luar rumah pula selipar digunakan untuk mengalas kaki apabila tuannya berjalan ke sana ke mari. Berapa bersihlah lantai dan tanah yang dipijak. Kalau setakat tanah dan lantai, mungkin tidaklah selipar dipandang sebegitu hina. Apa yang dipijak di luar rumah boleh jadi begitu kotor malah najis. Dari najis kucing yang boleh disucikan hanya dengan membasuh menggunakan air bersih kepada najis-najis yang memerlukan pembersihan dan penyucian dengan cara yang lebih terperinci.
Maka sahlah perbincangan berhubung dengan tajuk Darjat Selipar ini merupakan satu perbincangan yang tidak wajar kerana selipar memang jelas tidak mempunyai darjat. Ia hanya boleh dijelaskan sebagai satu benda yang hina kerana ia sentiasa terletak dan terhimpit antara tapak kaki dan lantai serta tanah yang sifatnya sering dikotorkan oleh najis.
Walaubagaimanapun, sekiranya pemerhatian teliti dan kajian terperinci dibuat terhadap selipar dan sifatnya, kita memang boleh meletakkan selipar-selipar yang kita kaji dalam golongan darjat-darjat tertentu. Ya, darjat-darjat tertentu dan bukan tahap-tahap kehinaan sebagaimana kita biasa lihat.
No comments:
Post a Comment